Seperti Apakah Sosok Hasan Al-Banna?

image
Hasan al-Banna dilahirkan di Mesir pada awal abad 20 Masehi. Dalam suku pertama abad 20 Masehi ini dia telah melancarkan satu gerakan Islam yang besar, yang terkenal dengan nama “Ikhwanul Muslimin”. Hasan al-Banna dan Ikhwanul Muslimin adalah dua nama yang tidak dapat dipisahkan. Begitu bertenaga sekali gerakan tersebut sehingga pengaruhnya bukan saja merebak di Mesir, tetapi telah meresapi seluruh Dunia Arab. Gerakan Ikhwan telah mencetuskan kebangkitan Islam dan roh Islam di Dunia Arab.

Bagaimanakah perjalanan hidup seorang Hasan Al-Banna?

Latar Belakang Keluarga Imam Hasan Al-Banna

Datuk Imam Hasan Al-Banna bernama Syeikh Abdur-Rahman Al-Banna. Beliau tinggal di sebuah kampung bernama Syamsyirah. Dua orang anak lelakinya bernama Ahmad dan Muhammad. Ahmad Al-Banna menuntut di Universiti Al-Azhar dan Muhammad Al-Banna pula terlibat dalam bidang pertanian. Selepas beberapa tahun, Syeikh Abdur-Rahman pun meninggal dunia. Satu perselisihan faham telah berlaku antara kedua orang anaknya itu mengenai pembahagian harta pusaka. Muhammad ingin memiliki bahagian tanah pusaka yang lebih luas kerana dia telah bersusah payah menjaga tanah pertanian bapa mereka. Perselisihan ini boleh membawa kepada pertengkaran tetapi Ahmad Al-Banna menyelesaikannya dengan menyerahkan kesemua bahagiannya kepada Muhammad dan terus berpindah ke Mahmoodiah untuk menetap di sana.

Ahmad bin Abdur-Rahman Al-Banna adalah bapa Imam Hasan Al-Banna, Di Mahmoodiah, Ahmad Al-Banna memulakan kerjanya sebagai tukang membaiki jam. Beliau berkelulusan dari Universiti Al-Azhar. Separuh hari dihabiskannya untuk mencari rezeki dan masanya yang lain digunakan untuk mengkaji dan belajar Al- Quran dan As-Sunnah. Di samping itu, Ahmad Al-Banna juga mempunyai sebuah perpustakaan yang mengandungi berbagai buku berharga mengenai Islam dan Sunnah.

Apabila penduduk kampung tersebut membina sebuah masjid mereka sendiri, mereka telah menjemput Ahmad Al-Banna menjadi imam solat Jumaat yang pertama di situ. Kepetahannya bercakap dan khutbahnya yang ilmiah itu telah menarik hati orang ramai. Beliau pun dilantik menjadi Imam dan Khatib tetap masjid tersebut atas permintaan ramai. Ahmad Al-Banna menerima tugas tersebut kerana mencari keredhaan Allah dan bukan kerana inginkan keuntungan kebendaan… Dia meneruskan kerjanya sebagai tukang membaiki jam untuk menyara hidupnya dan masa lapangnya digunakan dalam mengkaji hadis.

Ahmad bin Abdur Rahman Al-Banna menyusun banyak buku mengenai hadis. Beliau menyusun semula Musnad Ahmad bin Hanbal menurut bab-bab di segi ilmu Fiqh. Kitab ini dinamakannya ‘Al-Fathur-Rabbani Fi Tartib Musnad-ul Imam Ahmad bin Asy-Syebani’. Kemudian beliau menulis pula huraian terperinci mengenai kitab tersebut dan menamakannya ‘Bulugh-ul-Amani Min Asrarul Fath-ur-Rabbani’. Beliau juga menulis huraian mengenai kitab Abu Dawud dan menamakannya ‘Minhatul Mabud’. Di samping itu, beliau telah menyunting Musnad dan Sunnan Imam Syafi’e dan menulis huraian mengenainya. Karyanya dinamakannya ‘Badayi’-al Musnad Fi Jama Wa Tartib Musnad-as-Syafi’e wal Sunnan’. Akhirnya beliau menyusun sebuah buku yang menyentuh Masanid keempat Imam tadi. Ahmad Al-Banna adalah seorang ulama yang cerdik. Kajiannya terhadap Islam telah menunjukkan kecekapannya itu. Beliau telah melakukan kerja akademik secara bersendirian saja.

Syeikh Ahmad bin Abdur-Rahman adalah seorang manusia alim yang hebat. Dia wara’, berakhlak mulia dan bertaqwa. Isterinya juga berperibadi mulia serta wara’. Isterinya berasal dari Bani Abu Qurah. Dengan isteri pertamanya ini, Ahmad Al- Banna memperolehi tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan 2 perempuan. Anak anaknya itu bernama Hasan Al-Banna (yang sulung), Abdur-Rahman Al-Banna, Fatimah Al-Banna, Muhammad Al-Banna, Abdul Basit Al-Banna, Jamal Al-Banna dan Fauziah Al-Banna. Syeikh Ahmad Al-Banna mempunyai seorang lagi isteri. Dengan isteri kedua ini, dia memperolehi seorang anak perempuan yang bernama Faridah Al-Banna.

Kelahiran dan Pendidikan Imam Hasan Al Banna

Imam Hasan Al-Banna adalah anak sulung di dalam keluarganya. Beliau dilahirkan di Mahmoodiah pada bulan Oktober, 1906 M. Takdir Allah telah menentukan tarikh kelahirannya itu supaya dapat mengisi kekosongan akibat kematian pemimpin Muslim Mesir yang berwibawa dan tercinta iaitu Mustafa Kamal.

Mahmoodiah bersuasana kedesaan dan merupakan sebuah perkampungan petani. Para penduduknya menjalani kehidupan corak lama (tradisional). Keluarga Imam Hasan Al-Banna sangat 'alim dalam ilmu Islam dan Sejarah Islam. Keluarganya juga mengamalkan cara hidup Islam.

Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri. Dalam usahanya menghafal Al-Quran, bapanya telah memberi banyak bantuan. Bapanya juga memberi galakan kepadanya untuk mempelajari ilmu Islam. Tidak lama kemudian, beliau dimasukkan ke sebuah sekolah bernama Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah. Di sekolah ini beliau berguru dengan seorang ulamak terpelajar yang bernama Muhammad Zahran.

Apabila pengurusan sekolah tersebut bertukar tangan dan pengasasnya iaitu Syeikh Muhammad Zahran membuat kerja lain, maka Imam Hasan Al-Banna pun berpindah ke sekolah lain yang bernama Madrasah A’adadiyah.

Tahap pengajian sekolah ini adalah lebih tinggi daripada sekolah rendah. Kerajaan Mesir menghapuskan sistem pengajian sekolah A’adadiyah dan menyerahkannya kepada Kementerian Pelajaran. Kini cuma ada dua pilihan saja bagi Hasan Al-Banna. Salah satu daripada pilihan itu ialah memasuki Maahad-i-Dini; iaitu sebuah pusat.pengajian yang berhubung terus dengan Universiti Al-Azhar. Langkah ini boleh menjadikannya salah seorang ulamak Al-Azhar. Pilihan yang satu lagi ialah memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur untuk mendapat Ijazah Perguruan. Hasan Al-Banna memilih memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur.

Selepas itu tiga tahun berkursus di situ, beliau mendapat pangkat pertama di dalam peperiksaan. Selesai sahaja kursus perguruan tersebut, beliau telah ditawarkan jawatan guru oleh Pejabat Pelajaran Daerah tetapi beliau memilih untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ke Universiti Kaherah (Darul Ulum). Ketika itu beliau berusia 16 tahun. Mengikut peraturan, beliau tidak layak memasuki Universiti itu (yakni tidak layak dari segi umur) tetapi peraturan itu dilonggarkan kerana bakat dan keilmuannya yang luar biasa itu. Waktu itu, Darul Ulum terkenal dengan gelaran ‘Al-Azhar kecil’. Di sini kursus di beri dengan cara atau kaedah moden. Diantara kursus-kursus yang disediakan ialah Perguruan, Saikologi, Falsafah, Politik,Ilmu Kemasyarakatan, Matematik dan Ilmu Bahasa. Sebaik sahaja diterima masuk, Imam Hasan Al-Banna dan keluarganya pun berpindah ke Kaherah.

Pada bulan Julai, 1927 M., Imam Hasan Al-Banna lulus peperiksaan diplomanya dari Darul Ulum (kini terkenal dengan Universiti Kaherah) dengan mendapat pangkat pertama. Hasan Al-Banna membahagikan masanya itu ditumpukan kepada pengajiannya dan sebahagian lagi dihabiskan untuk dakwah Islamiah dan membantu bapanya membaiki jam. Setelah beliau menamatkan pengajiannya, beliau terpaksa pula membuat pilihan sama ada beliau patut mengambil biasiswa luar negeri dan meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi ataupun bekerja dengan Jabatan Pelajaran sebagai seorang guru.

Jika beliau bekerja dengan Jabatan Pelajaran, beliau akan mengajar kanak-kanak pada siang hari dan masa lapangnya pula akan dihabiskan untuk.mengajar ibu bapa mereka. Kemudian, Darul Ulum mengumumkan bahawa Biasiswa luar negeri tidak akan ditawarkan kepada mana-mana pelajar kerana negara Mesir sedang mengalami kekurangan guru waktu itu. Selepas pengumuman tersebut, beliau tidak ada pilihan lain kecuali menjadi guru. Apabila beliau mula bertugas sebagai guru di sekolah kerajaan, umurnya baru menjangkau dua puluh satu tahun. Beliau tinggal di Ismailiah schingga tahun 1933 M.

Tugas Hasan Al-Banna Sebagai Seorang Guru dan Peristiwa Penubuhan Al- Ikhwanul Muslimin

Imam Hasan Al-Banna tiba di Ismailiah pada tahun 1927 untuk memulakan tugasnya sebagai seorang guru. Beliau menggunakan masa lapangnya untuk mengkaji dengan teliti corak hidup masyarakat Ismailiah agar usaha dakwahnya dapat dilancarkan dengan lebih berkesan. Imam Hasan Al-Banna berusaha untuk menjadi seorang guru yang baik dan juga seorang pendakwah yang berjaya. Beliau memulakan usaha dakwahnya di kedai-kedai makan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Dalam masa yang singkat sahaja, ramai telah menjadi pengikutnya.

Dalam bulan Mac, 1928 M., enam orang penting telah berkumpul di rumah Imam Hasan Al-Banna. Mereka telah bersumpah untuk hidup dan mati kerana memperjuangkan Islam. Perjuangan mengejut ini telah menghasilkan satu pertubuhan yang terkenal dengan nama ‘Al-Ikhwan Muslimin’. Batu asas pusat gerakan dan masjid Ikhwan Muslimin telah diletakkan di Ismailiah pada tahun 1929 M. Selepas itu, cawangannya dibuka di kawasan Suez dan Iskandariah. Semenjak itu, Ikhwanul Muslimin pun berkembang dengan pesat menuju ke matlamatnya.

Pada bulan Oktober, 1933 M. Imam Hasan Al-Banna telah ditukarkan ke Kaherah. Tempoh enam tahun yang dihabiskan di Ismailiah merupakan titik permulaan keberkesanan gerakan Ikhwanul Muslimin pada masa depan. Ketika itu, ada satu pertubuhan dakwah di Kaherah yang terkenal dengan nama ‘Jami’atu- Tahzib-al-Islami’. Pertubuhan ini terdiri daripada belia-belia yang ikhlas terhadap Islam. Para belia ini sangat tertarik dengan kegigihan Ikhwan memperjuangkan Islam sehingga akhirnya mereka turut menjadi ahli Ikhwan agar mereka juga melibatkan diri dalam kegiatannya.

Berikutan itu, pertubuhan Jami’atu-Tahzib-al-Islami dan kesemua cawangan-cawangannya telah diserapkan ke dalam pertubuhan Ikhwanul Muslimin. Apabila Imam Hasan Al-Banna melawat Kaherah dalam tahun 1933 M., beliau dapati usaha Ikhwanul Muslimin di situ telah mencapai kemajuan yang pesat. Lantaran itu, beliau terpaksa meninggalkan jawatan gurunya dan memberi penumpuan sepenuh masa kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin.

Referensi

http://www.ilma95.net/pdf_kisah.htm

Perkawinan Hasan Al Banna dan Anak-anaknya

Hasan Al-Banna sangat disayangi oleh para penduduk Ismailiah. Kehadirannya itu telah menyirami hati mereka dengan kesedaran rohani. Haji Hussin as-Soli adalah seorang yang berperibadi mulia dan beliau sangat tertarik dengan peribadi Hasan Al-Banna serta kegiatannya. Hubungan antara Haji Hussin as-Soli dan Hasan Al-Banna begitu rapat dan kukuh sekali. Haji Hussin membantu Hasan Al- Banna dengan berbagai cara. Anak-anak lelakinya menjadi pengikut Hasan Al-Banna. Hubungan ini menjadi semakin kuat dari sehari ke sehari sehingga akhirnya Haji Hussin as-Soli mengambil Hasan Al-Banna sebagai menantunya. Latifah, anak perempuan Haji Hussin as-Soli, menjadi isteri Imam Hasan Al-Banna. Latifah juga seorang wanita yang berakhlak mulia dan bertakwa.

Latifah sangat setia kepada suaminya dalam berbagai keadaan. Perkongsian hidup mereka telah menghasilkan enam orang anak iaitu lima orang perempuan dan seorang lelaki. Kelima orang anak perempuan mereka bernama Sana’a, Wafaa, Raja’a, Hajir dan Istisy’had. Anak perempuan yang bongsu itu dinamakan Istisy’had oleh Latifah kerana beliau dilahirkan dihari Imam Hasan Al-Banna mati syahid.

Nama anak lelakinya ialah Ahmad Saiful Islam. Beliau juga tabah dan berwibawa seperti bapanya. Ahmad Saiful Islam berkelulusan di bidang ilmu perubatan dari sebuah Kolej Perubatan. Beliau ditahan daripada memegang apa-apa jawatan dan dihukum penjara selama dua puluh lima tahun ketika pemerintahan Jamal Abdul Nasir. Ada pepatah Arab yang bermaksud: ‘Anak seekor singa adalah singa juga’. Ahmad Saiful Islam memiliki segala sifat bapanya.