Apa yang Anda ketahui tentang Labah-Labah pembina sarang-bulat?

Labah-labah pembina sarang bulat

Labah-labah pembina sarang-bulat merupakan pemangsa-penunggu yang mambuat jerat untuk memerangkap serangga iaitu mangsanya. Mereka tidak membazirkan masa dan tenaga dalam mencari mangsa untuk dimakan secara aktif. Labah-labah ini mampu hidup pada jangka masa yang lama dalam keadaan berlapar, dengan cara mengurangkan kadar metabolisma dan pernafasan.

Dalam menjerat mangsanya, setiap spesies labah-labah pembina sarang-bulat akan mengeksploitasikan strategi masing-masing dalam memastikan jerat yang dibinanya berjaya memerangkap mangsa dengan lebih cekap. Pada masa yang sama, mangsa yang terkena perangkap tidak mampu terlepas daripada jeratnya, jeratnya pula tidak rosak semasa proses mengendalikan mangsa tersebut. Hal ini kerana terdapat pelbagai jenis bentuk dan saiz mangsa yang berkemungkinan terkena pada sarang-bulat. Oleh yang demikian, sebaik sahaja mangsa terkena pada sarang-bulat, labah-labah ini akan bergerak dengan pantas menuju kepada mangsa. Kemudian membalutnya dengan kadar yang segera untuk memastikan mangsa tersebut berhenti daripada sebarang pergerakan.

Tetragnatha pinicola membina sarang-bulat pada ketinggian sehingga 150 cm dari tanah untuk menjerat serangga di dalam hutan bakau. Jenis dan bilangan mangsa yang terperangkap pada sarang-bulat bergantung kepada kebijaksaan spesies labah-labah masing-masing. Adakalanya, mangsa yang terjerat pada sarang-bulat akan dilepaskan oleh labah-labah jika ia khuatir tidak mampu untuk mengendalikan mangsa tersebut dengan baik. Dengan pengalaman harian, kematangan, persaingan, risiko pemangsa, dan jenis mangsa yang ingin dijeratnya boleh mempengaruhi keputusan dalam memodifikasikan ciri-ciri sarang-bulat dan kedudukan jeratnya.

Sebagai contoh, Leucauge decorata membina sarang-bulat yang berlainan saiz dan keletakan pada ketinggian dari tanah yang berbeza, namun mengekalkan ciri-ciri sarang-bulatnya, iaitu bilangan lingkaran dan jejari pada sarang-bulat adalah sama.

Selain itu, terdapat labah-labah pembuat sarang-bulat yang menggunakan kelebihan warna pada badannya untuk menarik perhatian mangsanya. Warna cerah dan menarik pada bahagian badan Leucauge celebesiana mampu menarik perhatian mangsa untuk mendekati dirinya yang berada di tengah-tengah sarang-bulat, dan akhirnya mangsa tersebut akan terterbang pada jeratnya.

Leucauge celebesiana membalut serangga yang besar sebaik sahaja terjerat pada sarang-bulatnya. Ada pula labah-labah pembina sarang-bulat yang membina sarang-bulat-berkumpulan. Setiap individu akan membina sarang-bulat masing-masing dan berdekatan antara satu sama lain. Kemudian, akan dicantumkan bersama dengan beberapa helaian sutera dalam keadaan berorganisasi. Individu yang bersaiz besar akan berada pada kedudukan paling atas, manakala individu-individu yang bersaiz kecil akan berada pada kedudukan di bawah mengikut strata. Hal ini kerana sarang-bulat individu yang bersaiz besar mempunyai ciri-ciri daya tahan dan kekentalan yang lebih kuat berbanding dengan sarang-bulat yang dibina oleh individu bersaiz kecil. Maka, apabila mangsa yang terbang dengan kelajuan yang tinggi terkena pada sarang-bulat individu bersaiz-besar, momentum itu mampu memperlahankan daya pertembungan. Mangsa tersebut akan terpelanting ke belakang secara otomatik, dan jatuh ke perangkap sarang-bulat individu-individu yang lebih kecil di bawahnya untuk santapan.

Secara logiknya, pemilik sarang-bulat akan menikmati mangsa yang terjerat pada sarang-bulatnya dan memakannya secara bersendirian. Ini juga tidak terkecuali bagi individu-individu yang membina sarang-bulat-berkumpulan. Apabila mangsa terjerat pada bahagian sarangnya, ia berhak untuk membalut dan menikmatinya secara bersendirian dan tidak perlu berkongsi dengan rakan-rakan di dalam kumpulannya. Namun begitu, apabila kepantasan dan kecekapan menjadi kayu ukur, terdapat individu lain yang akan mengambil kesempatan dengan mencuri mangsa yang terjerat pada sarang-bulat individu lain yang lebih lemah di dalam kumpulannya.

Sebagai contoh, Tetragnatha maxillosa akan mencuri mangsa yang terperangkap pada sarang-bulat rakannya dengan pantas. Walau bagaimanapun, hal seperti ini akan terjadi jika bilangan mangsa yang terjerat adalah sangat rendah.

Portia labiata antara spesies labah-labah melompat yang memburu dan memakan labah-labah pembina sarang bulat. Labah-labah pembina sarang-bulat juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa kepada pihak lain. Selain haiwan besar seperti burung, tupai dan mengkarung yang menjadi ancaman, labah-labah melompat seperti Portia labiata akan memburu dan memakan labah-labah yang membina sarang-bulat seperti Tylorida ventralis yang berada pada sarang-bulatnya.

Sumber: