Bagaimana hukum berzina saat puasa Ramadhan ?

Berpuasa maknanya adalah menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Apa hukumnya jika kita berzina saat puasa Ramadhan?

Berzina hukumnya haram dan dosa besar bukan saja di bulan Ramadhan, tetapi juga di bulan-bulan lain. Cuma melakukan zina di bulan Ramadhan lebih dikeji kerana pelakunya tidak menghormati bulan Ramadhan. Orang yang berzina di siang hari di bulan Ramadhan, batal puasanya dan ia bukan sahaja wajib mengqadha puasa hari itu, tetapi juga diwajib Kaffarah atasnya. Kaffarah ialah denda yang dikenakan ke atas seorang yang membatalkan puasanya dengan bersetubuh di siang hari di bulan Ramadhan dengan sengaja.

Orang yang sengaja melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadhan di samping ia wajib menggantikan puasanya yang terbatal itu, ia dikenakan pula denda berat oleh Syara’ iaitu mengikut urutan di bawah;

  • Membebaskan seorang hamba mukmin sama ada lelaki atau wanita

  • Jika tidak didapati atau tidak mampu, hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut (yakni tanpa selang)

  • Jika tidak mampu, hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin dengan setiap orang satu cupak makanan asasi penduduk setempat. Bagi penduduk Malaysia, makanan asasinya ialah beras.

Menurut ulama; termasuk dalam erti persetubuhan yang mewajibkan kaffarah ialah; mensetubuhi faraj, dubur (iaitu meliwat), persetubuhan melalui zina atau syubhah atau dalam nikah yang fasid, sama ada mensetubuhi lelaki atau perempuan, manusia atau binatang. Persetubuhan-persetubuhan ini memberi kesan yang sama kepada puasa jika cukup syarat-syaratnya iaitu;

  1. Wajib diganti puasa, dan
  2. Wajib kaffarah atasnya.

Jika seseorang itu membatalkan puasa dengan perkara lain selain persetubuhan (seperti dengan makan, minum atau sebagainya), kemudian setelah puasanya batal barulah ia bersetubuh dengan isterinya, menurut mazhab Syafi’ie; ia tidak dikenakan kaffarah kerana kafffarah diwajibkan ke atas orang yang membatalkan puasanya dengan jima’ (persetubuhan). Dalam masalah ini, puasa itu batal dengan sebab makan atau minum, adapun persetubuhan ia berlaku setelah terbatalnya puasa.