Bagaimana adab minum yang baik dan benar menurut islam?

Adab minum

Bagaimana adab minum yang baik dan benar menurut islam?

Berikut merupakan adab minum Rasulullah SAW,

1. Gunakan Tangan Kanan

Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam (SAW) mengajar untuk kita makan dan memegang bekas minuman menggunakan tangan kanan dan melarang umatnya menggunakan tangan kiri kerana ia adalah sifat syaitan dan ciri-ciri orang yang bongkak.

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda;

“Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya.” (HR Muslim)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda;

“Jika salah seorang dari kamu hendak makan, hendaklah makan dengan tangan kanan. Dan apabila ingin minum, hendaklah minum dengan tangan kanan. Sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya.” (HR. Muslim)

2. Niat Kerana Allah SWT

Hendaklah ketika minum berniat bagi menyegar dan menyihatkan tubuh badan supaya memudahkan beribadah dan kerana Allah SWT.

Hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan.” (Riwayat al-Bukhari).

3. Baca ‘Basmallah’

Memulai minum dengan Basmalah: ‘Bismillahir-rahmanir-rahim’

Membaca Basmalah sebelum makan untuk mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah swt, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.

“Apabila seseorang di antara kamu minum dan memakan makanan, katakanlah ‘Bismillah’. Apabila lupa pada permulaannya, katakanlah ‘Bismillahi fii awwalihi wa aakhirihi.’” (HR. Abu Dawud dan at-Tirmidzi)

4. Membaca Doa

Doa minum air;

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَشْرَبُهُ لِتَغْفِرَلِى وَلِتَفْعَلَ بِى، فَاغْفِرْلِى أَوِافْعَلْ

Ya Allah! Sesungguhnya daku meminumnya dengan harapan Dikau mengampuni daku dan mengabulkan maksudku; Maka ampunilah daku serta kabulkanlah.

5. Minum Dengan Tiga Nafas

Minum dengan tiga kali tegukan dan elakkan bernafas ke dalam bekas minuman. Setiap kali berhenti minum hendaklah diarahkan pernafasan ke tempat lain.Dari Abu Qatadah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kamu minum maka janganlah bernafas dalam bekas air minumnya.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)

Nabi SAW sering minum dengan tiga kali teguk, sambil bernafas di luar gelas dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ di antara tiga kali tegukan. Baginda SAW juga akan teruskan minum dengan setiap tegukan diselangi bernafas di luar gelas sehingga habis.

Diriwayatkan dari Anas radhiyalaahu anhu (r.a.) bahawa Rasulullah SAW bernafas tiga kali ketika minum, “Rasulullah SAW biasa bernafas tiga kali sewaktu minum.” (HR. Muttafaq ‘alaih).

6. Dilarang Meniup Minuman

Jangan bernafas dan meniup air minum, terutama meniup air yang panas, kerana perbuatan itu akan menjadikan minuman bertoksid disebabkan Co2 yang dihembuskan ke dalamnya.

Ubay bin Ka’ab berkata:

“Rasulullah SAW tidak pernah meniup makanan dan minuman, tidak bernafas di dalam cawan. Bahkan beliau melarang meniup makanan dan minuman.”

Dari Ibnu Abbas,

“Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam melarang untuk bernafas atau meniup air minum.” (HR. Turmudzi no. 1888 dan Abu Dawud no. 3728, hadits ini dishahihkan oleh Al-Albani)

7. Minum Dalam Keadaan Duduk
Janganlah kita minum dalam keadaan berdiri walaupun ia dibolehkan tetapi ia makruh yang mendekati kepada haram.

Anas juga berkata:

“Rasulullah SAW telah melarang minum sambil berdiri”. (HR Muslim)

Jika tidak ada tempat untuk duduk adalah diharuskan minum sambil berdiri.
Adapun Rasulullah SAW pernah sekali minum sambil berdiri, oleh kerana ada sesuatu yang menghalangi Baginda SAW untuk duduk, seperti penuh sesaknya manusia pada tempat-tempat suci, bukan merupakan kebiasaan.

Dari Ibnu Abbas beliau mengatakan,

“Aku memberikan air zam-zam kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Maka Baginda SAW lantas minum dalam keadaan berdiri.” (HR. Bukhari dan Muslim r.a.)

8. Menutup makanan dan minuman
Tutuplah tempat minuman terutama pada malam hari. Rasulullah SAW mewajibkan menutup makanan untuk melindunginya dari pencemaran, sebagaimana dinyatakan dalam hadis Nabi SAW:

“Tutuplah makanan dan minuman”. (HR. Bukhari r.a.)

Dari Jabir bin Abdillah, ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda,

“Tutupilah bejana-bejana dan wadah air. Kerana dalam satu tahun ada satu malam, ketika itu turun wabah, tidaklah ia melalui bejana-bejana yang tidak tertutup, ataupun wadah air yang tidak ditutup akan turun padanya sesuatu penyakit.” (HR. Muslim r.a.)

9. Ucapkan Hamdalah, ‘Alhamdulillah’

Setiap kali berhenti minum (pada setiap penafasan) dan setelah selesai minum bacalah ‘Alhamdullilah’ tanda kita bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan.

Sumber : Wahai Anakku, Beginilah Cara Minum Rasulullah - Muslimah.or.id